Thursday, April 28, 2011

BAB 4: WARKAH USANG UNTUK SIAPA?

Petang itu aku benar-benar kehairanan dengan kehadiran Zam ke kedaiku dalam keadaan yang menggembirakan dan berseri-seri wajahnya. Ketika aku sibuk mengemas dan menyusun barang-barang jualanku, tiba-tiba bahuku terasa ditepuk. Apabila ku toleh, kulihat Zam tersengih macam kerang busuk.

“Kau terkejut Mid..apabila kutepuk begini?”

“Terkejutlah. Aku fikir ada orang yang datang hendak membeli barang,” ujarku kepadanya. “Kenapa dengan kau Zam hari ini, asyik tersengih saja. Gembira sangat nampaknya?” tanya aku lagi.

“Kau tak baca surat khabar Utusan Malaysia hari ini?” tanya Zam dengan wajah yang berseri.

“Tidak..” jawabku ringkas sambil mangangkat kotak-kotak kosong bekas pengisi bedak wangi cap bunga Ros yang baru sampai setelah seminggu kupesan dari Tauke Wong. Aku berjalan keluar ke tepi kedaiku untuk membawa semua kotak itu. Zam mengekoriku.

“Apalah kau ni Mid..Nama saja tauke jual surat khabar tetapi surat khabar tidak kau baca,” perli Zam kepada aku yang belum lagi membaca berita dalam akhbar hari ini. Aku memang tiada masa untuk membaca dan aku sebenarnya kurang berminat untuk membaca. Selalunya aku akan membaca berita pada waktu malam sambil menonton tv.
“Apa cerita hari ini?” tanya aku agak ringkas. “Ada kes jenayah kah? Sambungku lagi dan berlalu masuk semula ke dalam kedai. Zam terus juga mengekoriku. Kemudian dia bertenggek di sisi meja tulisku.

“Kau macam tidak mahu mendengar aku bercerita Kenapa?” tiba-tiba terlontar pertanyaan itu dari mulutnya dan benar-benar membuatku terasa tersindir.

“Aku tidak terniat pun tidak mahu mendengar percakapanmu. Cuma aku agak sibuk sedikit. Sekarang ini kau boleh bercerita. Aku sedia mendengarnya,” aku cuba memberi alasan agar Zam tidak tersinggung.

“Muka surat 13, tentunya kau masih ingat ruangan apakah yang sering tertulis di dalamnya,” ujar Zam yang cuba menyuruh aku mengingati kembali setiap ruang akhbar Utusan Malaysia. Aku tidak ingat langsung setiap ruangan dalam lembaran akhbar tersebut.

Aku bergegas mencapai lipatan akhbar Utusan Malaysia hari itu dn aku terus ke muka surat 13 di ruangan Cerpen Utusan. Di baris bawah sekali terdapat tulisan ‘Puisi Mingguan’ . Aku belek satu-satu ruangan puisi yang menyelitkan empat kiriman dan akhir sekali tertulis nama ZAM DUKA pengirim puisi ‘Warkah Usang Untuk Siapa’.

Inilah kali pertama tulisan Zam terpapar pada akhbar untuk pembaca menganalisa sejauh manakah keupayaannya menulis. “Tahniah Zam..tahniah… atas kejayaanmu ini,” ujarku pada Zam, lantas kumenggenggam erat tangannya tanda bangga.

“Padaku, aku belum puas lagi. Mungkin ini akan hanya berakhir di sini sahaja. Esok atau lusa atau bila-bila, aku tidak pasti dapat menghasilkan yang terbaik daripada ini,” ujar Zam merendah diri tetapi aku pasti dalam hatinya terselit rasa bangga yang tiada sesiapa dapat melihatnya. Zam bukan seorang yang suka menunjuk-nunnjjuk dengan kejayaannya. Terlalu sukar untuk dimengertikan sikapnya yang sebenar.

“Zam.. kaujadikan ini semua sebagai jalan untuk kau terus berjaya. Kau pernah berkata padaku yang kau akan terus hidup di dalam dunia puisimu. Kau tidak harus berasa takut menghadapi kenyataan yang suatu hari nanti kauboleh berjaya juga seperti mereka yang mungkin pernah senasib denganmu,”nasihatku kepadanya. Dia diam tunduk sambil menggoyangkan lututnya, sedang memikirkan sesuatu agaknya. “Kenapa kau diam?” tanya aku membuat Zam terkejut daripada lamunannya.

“Aku hanya mencuba. Itu sahaja jawapanku untuk kau,” katanya sambil mencapai sebungkus keropok yang tersangkut pada dingding kedai bersebelahannya. Digigitnya plastik pembungkus keropok itu lalu mengambil isinya. Ditariknya sekeping keropok yang terisi di dalam plastik itu. “Berapa sen sebungkus keropok ini?” tanyanya. Aku tidak menjawab. Sebentar kemudian muncul seorang kanak-kanak yang hendak membeli aiskrim.

“Mahu apa dik?” tanyaku kepada kanak-kanak itu. Aku bangun dari bangku yang kududuk mendapatkan kanak-kanak itu.

“Beli aiskrim potong dua,” kata kanak-kanak iti dengan menungjukkan dua jari menandakan mahu dua batang aiskrim potong.

“Mahu perasa durian,jagung atau coklat?” tanya aku semula pada kanak-kanak itu.

“Durian,” ringkas jawapannya. Kemudian aku menghulurkan dua batang aiskrim potong perasa durian dan menerima siling empat puluh sen bayaran harga jualan aiskrim, yang dihulur oleh kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu berlalu dengan senyuman. Senyuman puas dengan kehendaknya untuk membeli aiskrim tercapai.

“Aku berlalu kembali mendapatkan Zam yang asyik mengunyah keropok udang. “Kaulihat kanak-kanak itu. Cuba kau beriakn aku jawapan, kenapa dia tersenyum?” tanyaku kepada Zam sambil meletakkan punggungku ke kerusi bulat yang diperbuat daripada kayu.

“Mungkin dia puas dan seronok kerana mendapat apa yang dia idamkan.Mendapat dua batang aiskrim potong. Itu maksud kau, tanya kepada kau?”

“Em… betul,” katakan sambil membelek-belek kembali puisi yang dikirimkan oleh Zam itu. “Tapi mengapa dengan kau yang tidak tersenyum puas dengan hasil tulisanmu?”aku mencelah.

“Aku kurang mengerti dengan maksud kau itu,” katanya kepadaku.

“Aku kata kau tidak bangga dengan apa yang telah kau lihat hari ini dalam akhbar ini?” ujarku kembali. Berkedut dahi Zam apabila aku katakan begitu.

“Lantas kalau aku ingin menunjuk kebanggaanku, aku perlu melaung… Oi!... orang kampung… puisiku tersiar di dalam akhbar… kau semua tidak mahu tengokkah..! Begitu yang kau mahu? Atau aku harus menampalkan potongan akhbar ini di depan kedai kau dengan gambarku sekali. Haruskah aku buat begitu?”

“Kau terlalu sukar untuk dimengertikan Zam..” ujarku sambil menggeleng-geleng. Pening aku dibuatnya memikirkan pendiriannya itu.

“Kalau kau tidak bangga! Tidak mengapa. Tapi… aku sememangnya berbangga. Bangga kerana aku mempunyai seorang sahabat yang sedang menuju kejayaan . Berjaya menjadi penyair. Dan hasilnya telah aku nampak sekarang yang kau berbakat. Itu maksudku,” terangku dengan jelas kepadanya. Dia hanya tersenyum. Mungkin dia berasa bertuah kerana ada orang yang memahami erti kehidupannya selama ini. Seorang penyair. Aku baca setiap rangkap puisinya yang tersiar dalam akhbar itu. Pilu juga hati ini apabila menghayati maksud yang terkandung di dalam puisi itu yang berjudul:

‘Warkah Usang Untuk Siapa’
Biar di mana-mana sekalipun bumi yang kupijak
merekah,
Biar di mana-mana sekalipun kemarau panjang
mengdahagakanku,
Biar di mana-mana sekalipun terik mentari membakar
tusuk tubuhku,
Aku tetap mencarimu…
Aku tetap mengingatimu.

Lantas kususun baris ayat-ayat ini,
Untuk kuhuraikan kepadamu segala kekusutan,
Untuk kulambungkan sebuah harapan,
Yang aku benar-benar mencintaimu,
Yang aku lahir keranamu dan matiku juga keranamu.

Dan kerana itu kau pungutlah aku,
Kau bariskanlah aku disaf yang terkehadapan sekali,
Dan kau benarkan aku menjejaki hamparan kasihmu,


Lalu hari ini,
Aku masih menggenggam warkahmu,
Warkah usang yang tiada tercatat sebuah nama,
Untuk siapa, kepada siapa,
Tetapi telah kumengertikan warkah itu hanya untukku.