Thursday, May 27, 2010

Bab 2 : PERKENALAN

PAGI itu sperti biasa aku ke kedai buku Maidin di Bandar Pontian. Memang itulah kerjaku disamping membantu ibu menorah getah, aku akan mengayuh basikal membawa berpuluh-puluh keping nashkah akhbar untuk dijual kepada orang kampung.
      Dari sebuah rumah ke sebuah rumah tiap-tiap penduduk kampung aku akan berteriak ‘Surat khabar… surat khabar’ . Hitung panjang kutipan jualanku seharian lebih hutang RM 10.00 setelah ditolak modal.
      Agak kekok juga aku pada peringkat permulaan memulakan perniagaanku ini dahulu. Lama kelamaan, sudah menjadi perkara biasa dalam hidupku. Purata sebulan pendapatanku lebih kurang RM 300.00.
     Sudah setahun aku berniaga suratkhabar secara menjaja begini. Wang yang kudapat hasil daripada jualan surat  khabar itu aku simpan di bank dan belum pernah kugunakan walaupun sepuluh sen pun. Sehingga hari ini wang simpananku itu telah terkumpul sejumlah RM 4000.000. Aku sudah pun mengambil kira untuk mengunakan wng itu sebagai modal langkah pertama  membuka  kedai kecil di kampungku.
      Ibu pernah bertanya aku untuk apa kusimpan wang begitu banyak. Aku hanya tersengih sahaja tanpa member jawapan kepada soalan ibu. Aku tidak mahu memberitahu ibu apa rancanganku selanjutnya.
       “Mid, kau tak mahu bekerja kah?”Soalan yang sering kali ibu tanyakan padaku. Malahan sudah berpuluh-puluh kali ibu mencari kepastian dengan sikap dan pendirianku yang sebenarnya. “Samapai bila kau hendak menjaja suratkhabar. Rasa ibu pendapatan yang kauterima daripada jualan suratkhabar itu tak mencukupi. Kau sudah dewasa. Sudah 19 tahun. Kalaulah ibu mati petang atau pagi, sudah tentu kau susah,”panjang juga khutbah ibu kepadaku ketika kami duduk bersama dan berbual. Kerana itulah aku tidak gemar berbual-bual dengan ibu. Bukan kerana membenci dia, tapi… aku tidak mahu mendengar setiap soalan demi soalan dari mulut ibu tentang hari depanku.
          Kelulusan setakat PMR manalah boleh kerja di Bandar. Lagipun aku sekadar mendapt gred B sahaja. Tidak ada syarikat atau pihak tertentu yang mahu menerima aku bekerja dengan mereka kalau aku cuba memohon nanti.
          “Suib, Hussin, Jalil, Manaf, Tipah anak Pak Dolah semuanya yang sebaya dengan aku telah bekerja di bandar. Tapi aku masih lagi mundar-mandir di kampung. Selain menolong ibu menorah getah, selain aku menjual akhbar, aku juga ke laut memasang lukah dan ke kebun menanam sayur-sayuran.
           Mungkin kerja-kerja sebegitu tidak glamour seperti mereka yang bekerja kilang atau kerani di bandar. Kerja berpakaian kemas, wangi dan muka berbedak rapi. Tetapi aku yang hanya terperuk di kampung, bermandikan peluh sebagai minyak wangi, berlumurkan lumpur sebagai bedak pada muka dan bertemankan nyamuk yang menyanyikan lagu-lagu rindu pada kelazatan darahku.
           “Kawan-kawanku semuanya bergaji besar. Tengok sahajalah anak Pak Samad, si Rauf, sudah pakai motosikal. Kau masih dengan basikal, ke hulu ke hilir. Kau tidak segan dengan mereka ke?”
             “Ibu… mengapa saya harus segan dengan mereka. Saya tidak berhutang. Saya tidak meminta wang daripada mereka kalau saya tidak berwang. Saya bekerja pun dengan cara halal. Ibu tentu tahu bukan… kelulusan macam saya ni apa layaknya mahu bkerja di Bandar sana itu.”
            Petang itu ibu menghidang air kopi dan pisang goreng. Petang-petang begini kalau duduk bersembang memang sedap sambil mencecah pisang goreng dengan gula pasir dan meneguk kopi panas.                                                                                                                                    
           “Esok Leong meraih ke mari. Pisang sudah saya tebang. Adalah tiga puluh tandan. Kelapa sudah saya kupas kulitnya. Seratus biji semuanya. Getah keping dan getah buku semuanya sudah kering. Nanti ibu hanya beritahu padanya sajalah.”
             “Kau mahu kemana esok?”                                                                                                                               
             “Esok...selepas saya menjaja surat khabar, saya hendak ke bandar semula.”
             “Mengapa kau ke sana,” ibu mencari kepastian.
             “ Saya nak cuba-cuba mencari kerja,” beritahu aku. Sebenarnya aku mahu mengeluarkan sedikit wang untuk membeli alat-alat keperluanku mendirikan gerai di tepi simpang jalan ke rumahku. Aku akan memulakan perniagaanku. Langkah pertama aku, aku hendak menjual buku-buku, majalah, surat khabar dan sedikit makanan ringan.
             “Kenapa tiba-tiba sahaja kau mengubah fikiran untuk berkerja?” soal ibu agak kehairanan apabila mendengar jawapanku.
             “Ramai anak kampung yang sudah berkemajuan apabila bekerja di bandar. Tapi saya masih tiada perubahan. Tentunya ibu mahukan saya seperti mereka. Pakai baju cantik dan bermandikan wangi-wangian setiap hari. Sudah tentu saku saya pun penuh berisi dengan wang kertas berwarna-warni,” rasanya bicaraku kepada ibu mungkin keterlaluan. Seolah-olah menyindir. Sengaja aku berbicara begitu. Bukan niat untuk menyakiti hati ibu, cumaa sekadar ingin memberikan ibu satu kesedaran bahawa selama ini kita sabagai yang hidup di muka bumi Allah tidak akan kelaparan jika sentiasa berusaha.
              Pernah kudengar kata-kat ustaz Nasir yang berceritakan kisah  penghidupan seorang hamba abdi pada zaman Rasullulah S.A.W yang hidupnya sentiasa menjadi hamba abdi kepada kalangan orang kenamaan dan hartaan. Akan tetapi dengan mempuyai akal dan fikiran, dengan sikap yang ingin kebebasan, akhirnya hamba abdi itu menjadi seorang hartawan.
              Sedikit demi sedikit hamba abdi itu mengumpulkan upah yang diperoleh daripada tuannya. Apabila wang yang dikumpulnya sudah mencukupi untuk menebus dirinya, lalu hamba itu telah memohon kepada Rasullulah S.A.W untuk meminta baginda menyatakan hasratnya kepada tuannya supaya dia mampu menebus dirinya sendiri supaya merdeka.
              ‘… Pada hari kelahiran Rasullulah S.A.W, baginda telah meminta izin kepada tuan hamba abdi itu membebaska hamba abdinya dengan cara menebus dirinya sendiri.
              Tuan hamba itu amat terperanjat apabila mendengar akan cerita Rasullulah S.A.W itu. Lantas tuan kepada hamba abdi itu berkata kepada hambanya yang dia tidak mahu wang tebusan itu tetapi sebaliknya dia memberikan pula suku bahagian hartanya yang pernah dijaga oleh hamba abdi itu. Kayalah hamba abdi itu kerana hasil daripada harta yang diberikan oleh tuannya itu.
             Melalui cerita itu, aku sendiri terfikir betapa kesungguhan sseorang itu untuk hidup lebih sempurna, lambat laun akan tercapai juga jika ada kesungguhan berusaha. ‘Fikir dan akal itu pelita hati sebenarnya’ kata-kata Profesoer Dr. Hamka. Aku sering membaca buku-buku tulisan Dr. Hamka. Kata- kata hikmatnya benar-benar memberikan aku pengajaran kepada aku meneruskan hidup inni yang belum tentu dimana berakhirnya sebelum mati.
              Ibu agaknya merengus juga apabila aku memberikan jawapan yang mungkin padanya sebuah jawapan yang menyindir.
             “Bagaimana dengan kerja-kerja harian kau? Siapa yang mahu menguruskanya?” Tanya ibuyang mungkin berasa kecewa dengan tindakan aku.
             “Saya fikir mahu berhenti sahaja daripada menjaja surat khabar itu,” beritahu aku kepada ibu. Jawapan yang hanya sekadar memberikan ibu pertimbangan terhadap keputusanku.
             “Kau tidak menyesal?... ibu nampak perniagaan kau itu sudah maju dan ramai pula pelanggan kau. Kalau kau meneruskannya lebih baik daripada kau berkerja di bandar,” kata ibu seolah-olah mahu menarik minatku untuk tidak bekerja di bandar. Aku tidak tahu maksud ibu sebenar kerana selama ini ibu tidak suka aku bekerja sendiri.
             “ Kenapa ibu tidak suka saya bekerja di bandar? Sedangkan selama ini ibu tidak suka saya bekerja di kampung. Tapi kali ini ibu pula tidak suka saya bekerja di bandar. Kenapa?” Tanya aku agak hairan juga dengan sikap ibu yang secara tiba-tiba sahaja telah bertukar fikiran.
            “ Bukan ibu tidak suka kau bekerja sendiri. Selama ini pun ibu lihat kau tidak seperti mereka. Menonton wayang, makan angin ke sana ke mari. Selepas bekerja asyik terperuk saja di rumah. Kau lihat sajalah kawan-kawan seangkatan dengan kau, mereka bukan sahaja memakai pakaian cantik-cantik malah ke sana ke mari makan angin. Kau tidak teringinkah?” tanya ibu. Agak pelik juga dihatiku apabila mendengar penjelasan ibu. Kenapalah dia berfikir jauh seperti itu. Tapi… aku mempuyai rancangan yang mungkin kalau diketahuinya kelak akan menjadi satu kebanggaan yang sukar ditandingi dengan kawan-kawanku.
             Selama ini aku tidak pernah memberitahu kepadanya apakah matlamt hidupku yang sebenar. Aku ada wawasan tersendiri yang mungkin tidak sama dengan sepuluh atau dua puluh orang lain di muka bumi ini. Kalau ada pun, dalam seratus kumpulan manusia itu hanya satu yang mungkin mempuyai ciri-ciri persamaan seperti kehendakku.
             “ Mid, ibu hendak bersolat Asar, kalau kau tidak mahu ke mana-mana, nanti tolong masukkan kambing ke kandang. Jangan lupa kau bakar sabut kelapa untuk pendiang kambing. Kalau tidak nanti kesejukan pula kambing-kambing itu semua. Rasa ibu malam ini mungkin hujan lebat,” kata ibu sambil bangun meninggalkan aku sendirian. Tidak pula kujawab suruhan ibu. Petang pun masih awal lagi. Kalaupun hari hujan akan mencurah ke bumi malam nanti, tidaklah bermakna esok aku akan berehat tidak mencurah keringat di kebun.
              Hari hujan … atau panas terik … aku tidak pandai membuang masa dengan tidak membuat sebarang pekerjaan. Paling tidak pun aku akan membaca dan menulis puisi. Minatku terhadap penulisan memang ada. Pernah juga sajak-sajakku mendapat pujian daripada guru kelas tingkatan tigaku dulu.
              Tidak mungkin.. Tidak mungkin Hamid… aku yang bernama Hamid ini akan menjadi seorang penulis puisi seorang sasterawan ulung atau sasterawan Negara. Aku berkelulusan gred B Sijil Rendah Pelajaran. Kalau sekarang peperiksaan itu telah ditukar kepada nama Penilaian Menengah Rendah. Macam-macam perubahan yang telah diadakan oleh pihak kementerian. Entahlah… mungkin manusia semacam aku ini tidak layak digelar seorang manusia yang berguna kerana tidak berpelajaran.
              Sebut sahaja pasal puisi. Teringat aku kisah teman lamaku yang memang bijak menulis puisi. Banyak juga puisi yang telah ditulisnya. Ke mana-mana sahaja dia pergi, tidak pernah tertinggal di dalam kocek sakunya pen dan buku kecil 555. Buku kecil 555 itu memang popular di kalangan penduduk kampungku. Oleh sebab buku itu terdapat banyak tersusun di atas meja Kedai Haji Jalal dan Kedai runcit Ah Guan, orang kampung menggelar  buku itu buku hutang. Sudah kebiasaan bagi penduduk kampung akan mengambil hutang segala keperluan harian mereka. Ibu juga tidak terlepas daripada sikap berhutang di kedai Ah Guan. Sikap ini sebenarnya tidak baik.
               Berbalik persoalan kawanku yang berminat dengan puisi-puisi memeang popular di kampungku. Agak malang baginya sesetengah pandangan penduduk kampung menganggap dia gila. Dulu aku tidak begitu berminat berkawan dengannya dan aku pernah menganggap dia gila. Dia sering bersendirian dan bercakap sendiri.
               Sehinggalah pada suatu hari aku telah menghampirinya apabila saja terpandang dia sedang menulis sesuatu di dalam buku 555. Aku bertanya kepadanya, apakah yang dia tulis.
               “Puisi,” singkat saja jawapannya
               “Boleh aku lihat?” pintaku. Dia tidak membantah lantas menghulurkan buku 555 itu kepada aku.

               ‘Mentari… kau bersinar lagi..dan lagi..
                Kauterbitkan cahaya yang seni buatku, hangat membara..
                Menyusuk ketulang-tulangku, lantas kulit ini kering,
                hitam dan berkeluping
                Mentari.. kau tidak pernah melupakan janji-janjimu..
                Begitupun aku..
                Yang tidak mungkin melupakan janji-janjiku pada dia..
                Dia yang menjanjikan aku hidup, sampai bila yang Dia
                perlukan.

                Tapi aku belum tentu menepai janji-janjiku,
                Walaupun aku tidak pernah lupa,
                Walaupun aku pastinya berdaya melaksanakannya,
                Tapi….apakah aku tetap bersalah,
                Hanya Dia yang pasti,
                Kerana aku tidak menepati janji.
                Tidak seperti kau mentari..
                Esok kau akan bersinar dan bersinar lagi,
                Setelah duka malam mematikan hasratmu,
                Hasrat untuk terus melabuhkan punggungmu,
                Walaupun kau telah diperintahkan untuk tidak begitu.
                Juga sperti aku,
                Aku yang hidup belum pasti,
                Belum ada ketentuan,
                Belum pernah menentukan haluan,
                Lantas aku diperkatakan, diperhinakan dan….
                Hanya Dia yang tahu, antara kau mentari dan aku.’

Dapat juga kuhayati setiap baris puisinya. Aku berasa kagum dengan penulisannya. Sejak hari itu aku terus berkawan dengannya. Aku selalu bersama dia walupun ke mana-mana sahaja. Dia bagiku sudah tidak asing lagi.
               Apa yang menjadi persoalan pada fikiranku kini pula ialah kenapa aku juga sudah digelar gila oleh sesetengah orang kampung. Ramai yang menghalang perhubunganku dengan dia. Bagaimanapun aku tetap dengan keputusanku untuk berkawan dengan seorang insane yang mempuyai keistimewaan walaupun tidak sekaya mereka yang hidup angkuh dan sombong…bersambung insyaallah

Bab 1 : DIA TELAH PERGI

BERITA yang kuterima hari ini sungguh mengharukan. Aku tidak sanggup menerima sebuah kenyataan yang amat memilukan. Aku telah kehilangan seorang sahabat. Sahabat yang banyak membantu dalam urusan perniagaanku.Sahabat  yang mengerti  akan perasaanku. Sahabat yang tahu mengjaga hati seorang sahabatnya, aku.
        Kenapa dia harus lebih dahulu meninggalkan aku, aku sendiri pun tidak menyangka. Aku tahu kematianya itu amat menyiksa batinya walaupun itu adalah kehendak Allah yang Maha Esa dan maha mengasihaninya, lalu dia terpaksa akur dengan kehendakNya. Aku tahu dia amat terkilan kerana cita-citanya yang tidak terlaksana.
        Cita-cita yang tiada penghujungnya. Cita-cita yang sudah pasti tidak ada sesiapa pun yang sudi menyempurnakannya. Hanya aku sahaja yang mengetahui akan hasratnya kerana sebelum ajal menjemputnya dia telah banyak menceritakan kepadakan hasrat dan cita-citanya.
        Aku amat terkejut dengan kemalangan yang menimpanya subuh pagi jumaat 23 julai yang lalu. Pagi itu dia mengayuh basikal untuk pergi ke surau bertujuaan berjemaah subuh. Kebetulan waktu itu aku juga berada di surau.
        Mungkin sudah tertulis dalam suratan takdir hidupnya, dia akan mati dalam kemalangan jalan raya yang begitu mengerikan. Sebuah kereta Proton berwarna biru telah terlanggarnya sehingga mengheretnya tubuhnya  50 meter jauh dari tempat kejadian.
        Cikgu Samion, pemandu kereta Proton Biru yang terlanggar sahabatku itu. Dia cuba mengelak dari merempuh sahabatku itu sewaktu sahabatku yang sedang menunggang basikal hendak membelok masuk ke jalan menuju surau.
        Sudah ditakdirkan matinya sahabatku itu dalam keadaan yang begitu mengerikan. Sebelah tangannya terputus dan tersangkut di bawah enjin kereta Cikgu Samion. Cikgu Samion sendiri tidak sedarkan diri setelah agak parah lukanya. Kereta yang dipandu pleh Cikgu Samion terpaksa merempuh tiang elektrik yang terpacak di tepi jalan.
        Bunyi dentuman pelanggaran itu telah mengejutkan penduduk kampung yang masih tidur di sekitar tempat kejadian itu. Aku dan beberapa orang kampung yang telah berada di surau lebih awal, terdengar bunyi dentuman itu. Kami berkejar ke tempat kejadian.
        Petang tadi upacara pengkebumian jenazah sahabatku dijalankan. Suasana sedih dan terharu menyelubungi keluarga tunggal itu. Seorang ibu tua telah kehilangan anak tunggalnya yang banyak membuat jasa kepadanya. Aku juga turut berasa kehilangan. Bagiku sukar untuk mencari ganti seorang yang begitu baik.
Apakan daya sudah suratan takdir menentukanya pergi sebelum sempat meniggalkan nama. Nama seorang penyair muda yang berkebolehan dalam melahirkan hasil puisi-puisi. Kini hanya tinggal kenangan di dalam memori hidupku. Norizman atau  lebih dikenali dengan nama penanya ‘Zam Duka’ seorang insan yang penuh keunikan, kaya dengan nilai budi walaupun miskin dengan harta di dunia. Bersambung…

INTRO - SEPI SEORANG PENYAIR



Sepi Seorang penyair begitulah tajuk novel yang ditulis oleh MOHD.ABD.HAMID sebuah novel yang mampu membutkan hati aku tersentuh,sebuah novel yang telah dihadiahkan kepada aku di hari anugerah cemerlang sewaktu aku di darjah 5 di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Jambul ,Pendang Kedah.

Betullah perpatah ada mengatakan “ Don’t Judge A Book By Its Cover ” walaupun novel ini nampak biasa tp gaya penceritaannya bagi aku memang menarik,malahan tidak keterlaluan aku katakan yang kisah yang terdapat di dalam novel ini seolah benar-benar terjadi.

Oleh sebab kekuatan yang ada pada novel inilah aku teringin sekali berkongsi apa yang aku rasai dengan yang lain… dan dengan itu wujudlah Blog ini agar aku dapat berkongsi isi novel ini dengan kalian semua. : )

Dan dengan lafaz bismillah aku dengan ini merasmikan Blog ini dan selamat membaca kepada pembaca semua. Hehe skema giler ayat aku... : P